Credit to: http://www.astroawani.com/news/show/israel-penipu-besar-tuduh-malaysia-40998
KUALA LUMPUR: Pergerakan Hamas menafikan tuduhan Agensi
Keselamatan Israel, Shin Bet bahawa Malaysia melatih anggotanya untuk
melancarkan serangan rentas sempadan.
Pemimpin Kanan Hamas, Dr
Khaled Qadoumi menegaskan rejim Zionis Israel mengolah propaganda untuk
menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.
"Israel sedang
mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali
ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam
yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin," kata Khaled ketika
dihubungi Astro AWANI.
Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi
sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa Kuala Lumpur dan
masyarakat sivilnya dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.
"Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia
sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi
rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara," tegas Dr Khaled.
Justeru, Hamas menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh dengan penipuan dan permainan propaganda Israel.
Dr Khaled mengulas laporan Jerusalem Post yang mendakwa anggota Briged Al-Qassam menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan.
Shin Bet menuduh unit komando Hamas itu menerima latihan seperti payung
terjun dan 'paragliding' untuk memasuki kawasan selatan wilayah Israel.
Agensi Keselamatan Israel itu juga mendakwa ada anggota Hamas dijadual
untuk melatih pejuang lain dalam kemahiran pertempuran bulan ini.
Dalam pada itu, Dr Khaled turut memaklumkan Hamas akan terus bertahan
dalam mendepani serangan berterusan dan menyeluruh rejim Tel Aviv di
Gaza.
"Kami tiada jalan lain selain mempertahankan diri. Hamas
akan terus berjuang mempertahankan Gaza dan menyerang sasaran strategik
ketenteraan Israel," ujar beliau.
Selain perjuangan melalui
gerakan gerila, Hamas meneruskan usaha melalui jalan politik dan
diplomasi antarabangsa dalam mendepani kekejaman rejim Israel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan